Monday, November 27, 2017

PINJAM MASAMU, KAK




Cerpen Pinjam Masamu, Kak merupakan salah satu kompilasi cerpen dalam novel fixi bertajuk Cerpen karya Nadia Khan. Cerita ini berkisahkan sekitar lokasi Wad 2A atau lebih dikenali sebagai wad kanak-kanak. Cerpen ini memberi pengajaran agar melakukan sesuatu yang dapat menggembirakan diri sendiri serta mengejar cita – cita yang dingini, bukan mengikut kehendak orang sekeliling.

Cerpen Pinjam Masamu, Kak berkisahkan persahabatan antara doktor pelatih dengan pesakit leukimia di wad 2A yang bernama Julia. Bidang perubatan merupakan bukan bidang kesukaan doktor itu tetapi terpaksa disebabkan oleh galakkan keluarga. Doktor itu bercita-cita ingin menjadi guru tadika sejak dibangku sekolah lagi kerana sangat sukakan budak-budak. Namun, tugas di wad 2A iaitu, wad kanak-kanak dapat mengubati impiannya itu. Sikap Julia yang sering menenangkan hati doktor pelatih itu apabila sering dimarahi oleh pegawai atasan membuatkan hubungan mereka semakin erat. Melalui persahabatan mereka, Julia dapat menyedarkan doktor pelatih itu sejauh mana kerelaan untuk melakukan sesuatu perkara yang bukan pilihan hati.

Melalui cerpen ini, dapat dilihat umur bukan penentu kematangan individu. Watak Julia yang merupakan penghidap penyakit leukimia mempunyai kematangan dengan hanya memerhati ragam orang di sekelilingnya. Selain itu, persoalan yang diajukan Julia kepada doktor pelatih itu membuka minda doktor itu untuk memilih pekerjaan yang diimpikannya dari bangku sekolah lagi. Persoalan Julia yang sering bermain di minda doktor tersebut ialah “kenapa tak boleh buat sekarang?” “pinjamkan masa akak sikit pada Ju, boleh?”.

Keyakinan dalam diri juga penting untuk hidup. Cerpen ini memberikan galakan kepada pembaca untuk percaya dengan diri sendiri dalam melakukan perkara yang disukai. Watak utama iaitu, doktor pelatih memilih bidang perubatan kerana masyarakat meletakkan bidang perubatan untuk pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun, dia masih mempunyai keinginan untuk menjadi guru tadika kerana terlalu sukakan kanak-kanak. Tugas sebagai doktor di wad kanak – kanak dapat mengubati impiannya walaupun kadang – kadang jiwanya terseksa melihat kanak – kanak di dalam kesakitan.

Melalui tajuk cerpen ini sudah dapat menginsafkan pembaca. Moraliti cerpen ini agar pembaca menggunakan masa yang berharga dengan membuat perkara yang diminati dan dapat menggembirakan diri sendiri. Ini kerana masa itu adalah emas tetapi ada segelintir individu tidak memanfaatkan masa yang ada dengan menangguh sesuatu perkara. Namun, Julia yang menghidap penyakit leukimia sangat iri hati dengan rakan karibnya iaitu, doktor pelatih kerana mempunyai masa yang banyak untuk membuat perkara yang disukainya. Julia tidak mempunyai banyak masa untuk meneruskan hidup kerana organ-organnya sudah tidak berfungsi.

Selain itu, dimuatkan dengan istilah – istilah dalam bidang sains dan perubatan. Istilah-istilah sains yang digunakan adalah suntikan instramuscular, nebulizer, dan Henoch-Schonlein purpura. Suntikan instramuscular ialah suntikan yang diberikan terus ke bahagian otot supaya salur darah di bahagian itu dapat menghantar ubatan yang diberikan ke jantung untuk diedarkan ke seluruh sistem badan. Suntikan ini diberikan di bahagian lengan, paha ataupun punggung. Kebiasaanya suntikan sebegini menjadi pilihan kerana tisu otot boleh menampung jumlah cecair yang lebih tinggi tanpa mewujudkan ketidakselesaan. Disamping itu, nebulizer merupakan alat yang menukarkan ubat berbentuk cecair kepada bentuk gas dan disalurkan melalui alat bantuan pernafasan seperti topeng pernafasan. Nebulizer sering digunakan untuk penghidap penyakit lelah atau asthma. Seterusnya, Henoch-Schonlein purpura ialah penyakit yang biasanya menyerang kanak-kanak berumur antara 3 dan 10 tahun. Penyakit ini berlaku disebabkan oleh serangan antibodi terhadap sel badan sendiri dan mengakibatkan salur darah mudah tercedera. Antara kesan-kesan penyakit ini ialah lebam, terutamanya di bahagian kaki dan punggung, sakit perut, lenguh sendi dan juga kencing berdarah. Walaupun penyakit ini sering berulang, penyakit ini akan pulih dengan sendiri dan jarang menyebabkan sebarang komplikasi. Dengan istilah dan penyakit yang dimuatkan dalam cerpen ini, pembaca dapat menambah pengetahuan tentang ilmu perubatan.

Cerpen Pinjam Masamu, Kak dapat memberi kesedaran bahawa sesuatu perkara sukar untuk dilakukan jika tiada perasaan berminat. Individu perlu mempunyai keyakinan diri dalam membuat sesuatu keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang. Setiap orang mempunyai minat yang berbeza, lakukan sesuatu yang boleh mengembirakan hati sendiri bukannya untuk orang lain.

SUMBER : NOVEL FIXI
TAJUK CERPEN: PINJAM MASAMU, KAK

PENULIS: NADIA KHAN

No comments:

Post a Comment

...

Sajak Usman Awang "Bunga Poppy"

Sajak tradisional E - SAJAK  Bunga Popi karya Usman Awang (1955) Dari darah, dari nanah yang punah di tanah, rangka manusia ke...